ALIF BA TA

ALIF BA TA

03 January 2014

Satu Qiblat Yang Sama

Satu Qiblat Yang Sama. 



Dalam bait kata tersemat semangat, dalam bait lirik lagu tersimpul azimat. 
Lagu2 yang didendangkan kumpulan nasyid Rabbani oleh Allahyarham Ustaz Asri ini kebanyakkanya sentiasa memberi inspirasi dan juga pengajaran untuk diinsafi.

i.
Ada yang hitam, ada yang putih..Zahirnya Dia menciptakan kita berbeza,
Namun batinnya kita dikurnia akal fikiran yang lengkap sempurna,
Walau berbeza kasta budaya, hanya amalan pada-Nya yang utama,
Kita mewarisi Al-Quran suci sebagai panduan tuk hidup sejahtera.

Cuba hayati bait ini, tidakkah ia terkena pada diri? Bercerita pada kita, bahawa manusia semuanya sama sahaja, yang membezakan hanya iman dan taqwa. Maka mengapa mahu disua riak ujub dan takbur dalam diri?

ii.
Seringkali iman akan diuji bak layar dihembus laut gelora,
Dalam mengejar kehidupan di sana, jangan alpa meredah kabus dunia,

Cuba hayati lirik ini, tidakkah ia terkena pada diri? Bercerita pada kita, bahawa kehidupan dunia jangan pernah menutupi mata hati kehidupan akhirat yang kekal abadi?

iii.
Walau pandangan jauh berbeza, tak bermakna ada salah ada benar,
Pada akhirnya kita semua sujud ke arah satu qiblat yang sama.

Cuba hayati liuk lentuk lirik ini, tidakkah ia terkena pada diri? Bercerita pada kita, bahawa walau apa pun sudut pandang yang dikemuka, walau berbeza pendapat dan idea, namun kita tetap bersaudara?

Maka mengapa mendabik dada, mendengus amarah dan mencerca hina? Sedangkan kita manusia yang serba tidak sempurna.

Maka mengapa menghukum, mengkafir, dan menerakakan manusia?
Sedangkan kunci syurga bukan ditempa khas untuk kita.

Salam Penghulu Segala Hari dari Bumi Inggeris.

p/s: Al-Fatihah untuk Arwah Ust Asri. Semoga usaha dakwahnya melalui lagu2 ini menjadi asbab kehidupan yang mulia di sana.

Hazwan Mohamad
1.00 am
3 Januari 2013 

No comments: