ALIF BA TA

ALIF BA TA

01 April 2011

TAZKIRAH JUMAAT I : KEPIMPINAN BERTUHAN


Sejak memperkenalkan program spiritual leadership, ramai yang bertanya apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan spiritual.  Mungkin kita sering mendengar tentang perkataan spiritual namun kita mungkin juga tersilap kira tentang pengertiannya.
Ada antaranya yang menggambarkan tentang beberapa bacaan yang perlu dibaca lalu ianya dipanggil spiritual.  Ada juga terlintas di benak minda mereka beberapa ritual yang perlu diamalkan dan itu pada pandangan mereka adalah spiritual.
Spiritualiti adalah satu kepercayaan yang mendalam yang berkait dengan perasaan berhubungan dengan hal-hal ketuhanan, keyakinan, pengharapan serta perbuatan yang sama arah tuju tetapi bersifat multidimensi.  Ianya memberi satu momentum energy yang cukup kuat dalam menterjemahkan idea ke bentuk perbuatan.
Ini kerana mereka yang benar-benar memahami erti spiritualiti pasti akan menjumpai erti kehidupan sebenar dan tujuan hidup yang menjadi landasan untuk hidup.  Hasilnya mereka mempunyai daya tahan yang kuat dalam mengharungi liku kehidupan yang mencabar.

Mistik?

Berbeza dengan apa yang dipanggil mistik.  Mistik merupakan sesuatu yang boleh dikta katakan dengan bahasa mudahnya ghaib.  Mistik amat berkait rapat dengan mantra dan seumpamanya manakala spiritual pula merupakan keterikatan seseorang itu dengan Maha Pencipta.  Mungkin kupasan di atas sudah mencukupi untuk kita lebih memahami istilah yang spiritualiti dan mistik yang sering disalahertikan selama ini.
Hari ini apa yang ingin saya kongsikan adalah cerita kepimpinan yang mungkin selama ini kita lihat dari satu sudut yang berbentuk namun kali ini marilah kita melihatnya dari satu dimensi berbeza.
Kepimpinan jika dilihat dari dimensi spiritualiti cukup menarik untuk dikupas tetapi dalam ruang yang terhad ini saya mungkin dapat menceritakan sedikit tentang khalifah Umar Abdul Aziz, Khalifah Bani Umayyah yang bertahan selama 852 hari seperti mana yang saya bincangkan dalam rancangan Halaqah yang lepas.
Apa yang menariknya tentang Khalifah ini adalah kehebatan peribadinya dalam memerintah.  Apabila saya ditanya apakah rahsia kegemilangan beliau, maka ianya adalah corak pemerintahan yang berTuhan.  Inilah yang saya panggil kepimpinan berTuhan yang mana beliau zuhud dan dapat memakmurkan negara dengan kezuhudannya.

Kepimpinan BerTuhan

Persoalan yang sering timbul adalah memahami takrifan zuhud itu sendiri.  Sebelum kita pergi lebih jauh dengan apa yang diertikan dengan kepimpinan berTuhan maka lebih indah seandainya kita dapat mengupas pengertian zuhud itu sendiri.  Jika dilihat dari sudut bahasa zuhud membawa pengertian berpaling dari sesuatu kerana hinanya sesuatu tersebut dan kerana seseorang tidak memerlukannya.
Menurut Hasan Al-Basri pula "zuhud itu bukanlah mengharamkan yang halal atau mensia-siakan harta,  akan tetapi zuhud di dunia adalah kamu lebih mempercayai apa yang ada di tangan Allah daripada apa yang ada di tangan kamu. Keadaan kamu antara ketika ditimpa musibah dan tidak adalah sama sahaja, sebagaimana sama sahaja di mata kamu antara orang yang memuji kamu dengan yang mencela kamu dalam kebenaran."
Seringkali kita mendengar bahawa zuhud ditakrifkan dengan meninggalkan hal-hal duniawi sedangkan makna lebih jelas adalah mendahulukan Allah dalam segala hal.  Kepimpinan berTuhan yang diamalkan oleh Umar Abdul Aziz adalah satu bentuk kepimpinan yang mendahulukan Allah swt dalam semua hal.
Makanya corak pemerintahannya menjadikan keadaan ketika itu bercukupan hinggakan mencari orang untuk diagihkan zakat juga agak sukar.  Kepimpinan berTuhan ini perlu dimulakan dari diri sendiri terlebih dahulu.  Kita perlu menjadi khalifah kepada diri kita sendiri.  Dalam hal ini, kita perlu tahu juga untuk membezakan kepentingan sesuatu hal, contohnya umar menggunakan dua pelita yang satunya untuk negara dan satu lagi untuk diri sendiri.

Kepentingan atau Keutamaan?

Jika kita melihat hal ini dari sudut spiritual maka yang jelas untuk dikupas adalah cara kita meletakkan kepentingan atau keutamaan.  Seringkali kita alpa dalam aspek untuk menentukan keutamaan sesuatu perkara.  Kita perlu bijak dalam menyusun atur keutamaan dalam kehidupan kita.  Itu adalah titik awal untuk kita mentadbir diri kita.
Kita kemudiannya perlu juga tahu yang mana satu keperluan hidup dan yang mana satu kehendak.  Kedua-dua ini acapkali bertembung apabila satu-satu keputusan ingin dilakukan.  Akibatnya kehendak seringkali mendapat tempat di hati.
Demi untuk kita tahu menilai keutamaan serta membezakan antara keperluan dan kehendak maka kita amat perlukan hakim yang bijak untuk memberitahu kita percarturan yang perlu diambil.  Hakim berkenaan adalah Allah swt yang maha kaya lagi maha bijaksana.  Maka kepadaNya kita perlu merujuk.
Jika kita hanya merujuk kepada diri sendiri maka kita masih mungkin merujuk kepada nafsu yang ingin dipuaskan kerana takut dicela masyarakat, takut dilihat miskin atau takut dilihat lemah.  Jika rujukan itu dilakukan kepada Allah swt maka kita tidak peduli apakah pandangan sekeliling kerana yang paling penting adalah pandangan Allah swt terhadap diri kita.
Jika ini boleh dilaksanakan maka kita sudah mula membawa corak Umar Abdul Aziz dalam kehidupan kita.  Kita sudah mula memimpin diri sendiri dengan kepimpinan berTuhan dan kemudian barulah ditularkan ke seisi keluarga, masyarakat dan negara.  InsyaAllah setelah ini kita akan mengupas pula bagaimana untuk kaya tetapi berTuhan.

No comments: