ALIF BA TA

ALIF BA TA

28 March 2011

MELAYU ???

Memahami Beberapa Istilah Yang Ada Perkataan MELAYU

Sebelum kita membicarakan dengan lebih lanjut mengenai persoalan kemelayuan yang lain, adalah lebih "afdal" jika kita mengenali dan memahami terlebih dahulu beberapa istilah yang terdapat perkataan MELAYU yang seringkali kita akan bertemu dalam bahan-bahan bacaan harian agar kita semua tidak terkeliru dan salah anggap mengenainya.
1. Rumpun Melayu = Adalah sekelompok besar manusia yang menjadi pribumi di kawasan Nusantara ini yang mempunyai beberapa ciri KEBERSAMAAN terutamanya dari segi fizikal, genetik dan linguistik. Pakar etnologi dan juga pakar linguistik mengklasifikasikan golongan ini sebagai Malayo-Polinesian. Juga dikenali sebagai Rumpun Nusantara (seringkali digunakan oleh pihak Indonesia). Kewujudan Rumpun Melayu di Nusantara ini dapat didasarkan kepada dua teori migrasi manusia ke kawasan Nusantara ini iaitu Teori Yunnan (3 Gelombang Migrasi Melayu seperti Melayu Negrito, Melayu Proto dan Melayu Deutro) dan Teori Nusantara. Dalam Rumpun Melayu, terdapat pelbagai suku (etnik) mengikut variasi dialek pertuturan, adat-budaya dan tempat asal mereka bermastautin, contohnya seperti orang Jawa, Aceh, Banjar, Bugis, Kelantan-Patani (orang Jawi), Champa dan sebagainya. Secara metafora, kelompok besar manusia ini boleh juga dirujuk dengan panggilan Umat Melayu.
2. Kepulauan Melayu = Adalah satu istilah yang mula digunakan secara meluas ketika zaman Empayar Melayu Melaka yang merujuk kepada satu kawasan kepulauan yang terbesar di dunia yang kini termasuk dalam rantau Asia Tenggara. Juga digelar sebagai "Malay Archipelago" dalam Bahasa Inggeris. Orang Jawa pada zaman Empayar Majapahit menamakan rantau kepulauan ini sebagai "Nusantara" (Jawa = Nusantoro). Pedagang Arab di zaman silam pula menamakan rantau ini sebagai "Jaza Ir Jawa" (tempat orang-orang Jawa), kerana mereka mula mengenali rantau ini ketika rantau ini berada dalam kekuasaan Empayar Majapahit yang dipelopori oleh majoriti suku Jawa. Claudius Ptolemaeus (Ptolemy), seorang ahli matematik, geografi, astronomi dan astrologi berbangsa Romawi yang lahir di Iskandariah, Mesir pada tahun 90 Masihi telah merujuk Semenanjung Tanah Melayu dengan panggilan "Aurea Chersonesus", yang merupakan indikasi akan kewujudan satu dataran di Kepulauan Melayu ini sejak zaman dahulu kala lagi. Secara metafora, kawasan kepulauan ini juga boleh disebut sebagai Alam Melayu atau Dunia Melayu.
3. Suku Melayu = Merupakan salah satu suku (etnik) dalam Rumpun Melayu yang bertebaran di serata Kepulauan Melayu ini sehingga mereka membentuk kerajaan di pelbagai tempat terutamanya di sekitar persisiran pantai kerana budaya golongan ini yang suka berdagang dan mahir dalam pembuatan transportasi air (kapal dan sampan). Suku Melayu merupakan di antara beratus-ratus suku dalam Rumpun Melayu yang wujud di negara Indonesia pada hari ini. Suku Melayu di Indonesia dapat dikenali melalui tempat mereka bermastautin atau pernah mewujudkan kerajaan di zaman silam. Antara yang terkenal ialah Suku Melayu Riau, Suku Melayu Jambi, Suku Melayu Betawi dan lain-lain. Suku Melayu di Indonesia diklasifikasikan mengikut beberapa ciri KEBERSAMAAN termasuk dari segi bahasa pertuturan, adat dan budaya. Untuk keterangan lanjut mengenai Suku Melayu di Nusantara, sila lawat http://www.melayuislam.com/

4. Melayu di Malaysia = Berbeza dengan takrifan istilah Suku Melayu yang hanya eksklusif kepada satu golongan manusia di negara Indonesia dan Nusantara secara umumnya, definisi MELAYU dalam negara Malaysia bersifat lebih universal kerana beberapa faktor, terutamanya atas kepentingan agama Islam dan keperluan politik. Definisi MELAYU di Malaysia mengikut Perlembagaan Persekutuan perkara 160(2) telah ditetapkan atas beberapa ciri KEBERSAMAAN yang wujud terutamanya BERAGAMA ISLAM. Ia tidak sesekali merujuk kepada ciri genetik atau fizikal seperti tafsiran ahli etnologi. Definisi sedemikian telah dibuat agar MELAYU itu sendiri di Malaysia tidak mudah terpisah dari perihal ISLAM. Ini bukan bermakna semua unsur-unsur kemelayuan itu adalah Islamik dari asalnya, tetapi sebaliknya, iaitu semua unsur-unsur Islam itu termasuk dalam perihal kemelayuan di Malaysia. Ini supaya segala unsur-unsur yang bertentangan dengan Islam tidak sepatutnya dijadikan tonggak kemelayuan seperti ketika zaman sebelum kedatangan Islam di rantau ini. Ia juga merupakan suatu gelaran kepada majoriti orang Islam di Malaysia sama seperti gelaran "Bosniak" yang merujuk kepada golongan Muslim di kawasan Balkan, atau gelaran "Saracean" yang merujuk kepada golongan Muslim di bawah Salahuddin Al-Ayyubi. Yang penting ialah BERAGAMA ISLAM atau MUSLIM. Apa-apa gelaran itu, tidak kira namanya apa pun, hanyalah suatu perkataan untuk rujukan, begitulah juga definisi Melayu di Malaysia ini yang merujuk kepada majoriti Muslim di negara ini. Walaupun begitu, kepelbagaian orang Melayu di Malaysia masih boleh dirujuk berdasarkan asal-usul suku dalam Rumpun Melayu contohnya seperti Melayu Jawa, Melayu Bugis, Melayu Kelantan-Patani, Melayu Minang, Melayu Acheh dan lain-lain. Ia juga boleh dirujuk berdasarkan negeri di Malaysia seperti Melayu Negeri Sembilan, Melayu Terengganu, Melayu Kedah dan lain-lain. Dan yang paling fleksibel sekali, Melayu di Malaysia dapat dirujuk berdasarkan perkaitan atau kacukan dengan bangsa lain selagi mereka itu BERAGAMA ISLAM, contohnya seperti Melayu-Turki, Melayu-Inggeris, Melayu-Arab, Melayu-India (mamak), Melayu-Cina dan lain-lain.

No comments: