ALIF BA TA

ALIF BA TA

19 February 2011

BATIK MALAYSIA BURUK SANGATKAH???

ROSAKNYA seni budaya bangsa itu adalah kerana bangsa itu sendiri yang memperlekehnya.
Saya merasa sedih atas ungkapan oleh Anwar Ibrahim pemimpin Parti Keadialan Rakyat (PKR) mengenai batik Malaysia. Beliau mencemuh seni batik Malaysia bagi mendapat pujaan daripada kerajaan dan masyarakat luar.
Menghina seni batik Malaysia seolah-olah dia menghina diri sendiri atas nama kebebasan peribadi. Bak kata perpatah mencoteng arang ke muka sendiri. Rupa nampak hodoh dan orang akan ketawa.
Inilah yang berlaku di Festival Salihara 2010 di Komunitas Salihara, Jakarta Selatan, di mana ia mendapat sorakan ketawa para hadirin.
Setiap corak pada batik dihasilkan oleh pereka dan pembatik yang mempunyai rujukan seni dan warisan yang terperinci. Motif-motif daripada flora dan fauna seperti pucuk rebung, bunga cengkih, awan larat, distaliskan menjadi corak yang sesuai dipadankan ke tekstil dengan adunan warna yang sesuai dengan cita rasa Malaysia.
Malah, masa kini corak-corak lebih bebas menggunakan teknik-teknik baru seperti renjisan, berusan, kombinasi cetakan dan canting bagi sasaran pasaran yang urban dan kotemporari.
Ilmu-ilmu ini diajar secara formal kepada pereka dan pembatik bagi mendalami reka corak yang dihasilkan. Bercakap mengenai nilai seni batik Malaysia yang rendah seperti tidak masuk akal. Ia juga menghina para ilmuan seni.
Setiap dua tahun Kuala Lumpur Batik Convention anjuran Budi Penyayang bermula pada 2005, 2007, 2009, 2011 membincangkan langkah memajukan industri batik, mendedahkan pengusaha dengan pereka/penyelidik antarabangsa.
Mempelajari teknik tradisional, moden dan inovasi dari negara-negara lain seperti Amerika, United Kingdom, Australia, India, Sri Langka, Jepun, Singapura dan Indonesia yang mempunyai minat yang tinggi terhadap batik. Setiap peserta dari negara luar menghormati warisan seni batik Malaysia dan memuji inisiatif Malaysia dalam membangunkan seni batik secara total.
Selain daripada itu juga pertandingan Piala Seri Endon yang berprestij bagi melahirkan lebih ramai pereka-pereka dan pengusaha muda, produk-produk batik yang bermutu tinggi bagi menaikkan taraf nilai batik di persada yang lebih tinggi.
Tiada siapa pun yang mengatakan batik Malaysia jelek, malah kagum dengan ekspresi tradisional dan moden yang beridentiti.
Batik Malaysia diberi penjenamaan semula ke arah lebih strategik melalui badan bukan kerajaan (NGO) seperti Budi Penyayang dan kerajaan seperti Kraftangan Malaysia serta penyelidikan oleh institut pengajian tinggi awam dan institut penyelidikan seperti Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Institut Kraf Negara (IKN) bagi membangunkan seni dan budaya ini ke tahap yang lebih tinggi dan menjadi salah satu komoditi ekonomi negara.
Rata-rata pengusaha di Kelantan dan Terengganu sedang merasakan kehangatan impak pasaran sedia ada dalam dan luar negara.
Saya menyeru kepada semua pereka, pengusaha, penyelidik, dan semua yang terlibat dalam seni batik untuk teruskan usaha anda bagi mencapai matlamat yang lebih tinggi iaitu membangunkan seni batik untuk 1Malaysia.
Batik yang indah dan berseni itu dikagum seluruh dunia. Yang jelek itu hanya pandangan satu orang saja. Ini adalah salah satu punca rosaknya seni budaya bangsa itu adalah kerana bangsa itu sendiri yang memperlekehnya.
Prof. Madya Dr. Khairul Aidil Azlin
Abd. Rahman
Fellow Penyelidik, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS),
Ahli Majlis Batik Dunia,
Timbalan Presiden Alumni
Piala Seri Endon Winners

No comments: