ALIF BA TA

ALIF BA TA

15 November 2010

SEKOLAH VERNAKULAR IGAUAN MIMPI NGERI GENERASI MASA HADAPAN!

Antara tujuan utama kewujudan Laporan Razak pada 1956 adalah menyediakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, melahirkan perpaduan antara kaum sebagai satu rumpun bangsa Tanah Melayu, menyediakan satu sistem pengurusan pendidikan yang lebih cekap dan berkesan serta mewujudkan masyarakat yang berdisiplin, terlatih, bertoleransi, liberal dan progresif.

Sebaik-baik sahaja negara mencapai kemerdekaan, usaha ditumpukan untuk mewujudkan satu sistem pelajaran kebangsaan. Sehubungan itu, Ordinan Pelajaran 1957 digubal berdasarkan perakuan Laporan Razak 1956 yang mengutamakan perpaduan dan menjadi teras Dasar Pendidikan Kebangsaan. Perakuan Laporan Razak dikaji semula oleh Jawatankuasa Rahman Talib pada tahun 1960. Laporan jawatankuasa itu menjadi asas kepada penggubalan Akta Pelajaran 1961 yang menggariskan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pada semua peringkat pendidikan serta penggunaan kurikulum dan peperiksaan yang sama untuk semua pelajar.

Akta Pelajaran 1961 sebenarnya tidak begitu jelas dan tidak bertulis. Yang kita dapati hanyalah untuk menyatukan kaum di Malaysia selari dengan masyarakat yang berbilang kaum. Ini dapat dilihat dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan mengikut Laporan Razak yang menjadi asas kepada Akta Pelajaran 1961:

“Tujuan Dasar Pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur.” (Penyata Razak, Perenggan 12)

Manakala Akta Pendidikan 1996 yang merupakan sinambungan daripada Akta Pelajaran 1961, dengan jelas memberitahu kita bahawa dasar pendidikan adalah berlandaskan kepada hasrat Wawasan 2020 dan Falsafah Pendidikan Negara.

Apabila Mukhriz Mahathir mencadangkan agar sekolah-sekolah vernakular ditutup, sememangnya dia bukanlah orang yang pertama. Bagaimanapun, isu tentang sekolah-sekolah vernakular TIDAK BOLEH DISENTUH dalam keadaan biasa kerana ia akan dianggap sebagai cubaan memecahbelahkan perpaduan di negara ini. Itulah pendapat para pemimpin berbangsa Cina dan India. Namun, tanggapan mereka terhadap sekolah-sekolah vernakular Melayu seperti sekolah agama dan sekolah pondok, tidak pula dianggap sebagai ancaman kepada perpaduan.

Cadangkanlah apa-apa pun untuk perpaduan dan menyatukan sistem pendidikan, pastinya ditentang keras oleh pemimpin Cina dan India yang bersatu tanpa mengira fahaman parti politik. Sekolah Wawasan tetap tidak dapat dijayakan kerana keengganan mereka untuk membubarkan Sekolah Aliran Cina dan Sekolah Aliran Tamil dengan alasan sekolah-sekolah vernakular berkenaan dibiayai oleh persatuan-persatuan kaum berkenaan. Namun akhirnya, yang menjadi pendana sebenar sekolah-sekolah vernakular tersebut adalah Kementerian Pelajaran.

Hanya beralasankan menjaga adat budaya pendidikan tradisional, Malaysia merupakan satu-satunya negara di dalam dunia ini yang membenarkan pembelajaran vernakular yang terpisah daripada Akta Pendidikannya sendiri. Seolah-olah akta pendidikan terutama yang membabitkan Bahasa Kebangsaan sebagai teras, mempunyai ‘kembar’ yang bertentangan sifatnya. Laporan Razak 1956, Laporan Rahman 1960, Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996, kesemuanya menggariskan Bahasa Kebangsaan sebagai medium untuk perpaduan.

Pihak pengurusan sekolah vernakular Cina telah menjadikan penempatan guru-guru Melayu di sekolah mereka sebagai isu kerana dibimbangi masa hadapan Bahasa Mandarin akan suram, kononnya. Sebaliknya pihak pengurusan sekolah vernakular Cina mendesak agar guru-guru dari kalangan kaum Cina mengambilalih penempatan tersebut meskipun kebanyakan daripada mereka lemah dalam penguasaan Bahasa Kebangsaan.

Walau apa pun alasan yang mereka berikan, sebenarnya kewujudan sekolah-sekolah vernakular itulah yang terus-terusan merenggangkan hubungan antara kaum. Kalau dari kecil lagi, setiap rakyat di Malaysia telah dipisahkan oleh pendidikan yang berasaskan perkauman, bagaimana apabila mereka sudah dewasa nanti, mereka dapat menyuburkan konsep perpaduan dan keharmonian seperti yang terukir dalam Falsafah Pendidikan Negara?

Penutupan sekolah pelbagai aliran, akan memberi ruang yang lebih luas kepada sekolah kebangsaan sedia ada untuk membawa aspirasi perpaduan. Pelajar-pelajar daripada semua kaum akan belajar di bawah sistem satu sekolah. Ini bukan sahaja akan membolehkan mereka belajar menerusi sukatan pelajaran yang sama, malah turut memberikan pendedahan awal untuk mereka hidup dalam persekitaran kepelbagaiaan kaum sekaligus membolehkan mereka mengadaptasi segala permasalahan yang timbul serta mencapai persefahaman seawal peringkat sekolah rendah lagi.

Para pemimpin yang mewakili kaum masing-masing seharusnya gusar dengan perkembangan yang berlaku sekarang ini. Malah ia tidak seharusnya hanya melibatkan pemimpin-pemimpin politik semata-mata, sebaliknya turut melibatkan pemimpin dari lapangan ekonomi dan sosial.

Malaysia seharusnya meneladani negara-negara lain, khususnya negara-negara maju untuk menangani masalah ini. Satu tindakan tegas bagi mempertingkatkan penguasaan Bahasa Kebangsaan, wajar dilakukan terutama dengan penghapusan sekolah-sekolah vernakular ini.

Kebimbangan tentang Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil tidak sepatutnya wujud kerana kedua-dua bahasa tersebut, boleh diajar di sekolah-sekolah kebangsaan dan menengah. Malah kedua-dua matapelajaran tersebut boleh diwajibkan kepada semua pelajar, seandainya benar para pemimpin bukan Melayu benar-benar ikhlas untuk mewujudkan perpaduan dan persefahaman kaum.

Hakikatnya, masalah ini sebenarnya tidaklah serumit seperti yang digambarkan oleh para pemimpin bukan Melayu. Ia boleh diselesaikan dengan baik. Malah rungutan serta tanggapan bahawa sistem pelajaran nasional bernilai rendah, boleh diatasi dengan adaptasi daripada sistem sekolah-sekolah vernakular, khususnya dalam pembelajaran matematik.

Persoalannya hanyalah, adakah para pemimpin bukan Melayu yang terus mempertahankan sekolah-sekolah vernakular sebenarnya cukup ikhlas dengan matlamat Falsafah Pendidikan Nasional terutama sekali yang melibatkan Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996 yang cuba mendaulatkan Bahasa Kebangsaan sebagai medium perpaduan?

Sampai bila sebenarnya rakyat negara ini benar-benar menjadi rakyat Malaysia, bukannya orang Cina Malaysia dan orang India Malaysia? Cakap tentang Malaysian first, Chinese/Tamilese second, sebenarnya hanyalah retorik yang tidak berkesudahan kerana pemimpin-pemimpin yang menekankan konsep berkenaan sebenarnya bercakap Bahasa Kebangsaan pun lintang-pukang.

KOMENTAR ABT :
~percayalah selagi mana wujudnya SJKC,SJKT ini maka perpaduan antara kaum di Malaysia masih ibarat telur di hujung tanduk...bila2 masa sahaja ianya akan jatuh dan pecah Ketika itu janganlah ada lagi yang menyalahkan sesama sendiri kerana semua akan tahu bahawa ianyaa wujud kerana masalah yang ada di hadapan mata sengaja ditutup rapat2 dan masalah di sebelah telinga sengaja dipekakkan!!! Ayuh pemimpin-pemimpin sekalian jangan menggadai masa hadapan anak bangsamu!

No comments: